DR Zaliha Mustafa. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Zaliha Mustafa. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pusat pentadbiran kerajaan di sini bakal menjadi perintis dan peneraju amalan kitar semula bandar rendah karbon selain mengukuhkan kedudukannya di peta dunia sebagai destinasi pelancongan serta penganjuran acara bertaraf dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, selepas hampir tiga dekad Putrajaya dibuka, Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya menempuh pelbagai cabaran dalam merancang, membangun dan mengurus pusat kerajaan ini.

Katanya, selain itu PPj juga berjaya membangunkannya sebagai bandar mampan pintar dan destinasi pelancongan bertaraf dunia.

"Pada masa ini Putrajaya memasuki penghujung dekad ketiga penubuhannya. Putrajaya menjadi semakin kukuh, mampan dan pintar sekaligus menerima pelbagai pengiktirafan dari peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk menjadi rujukan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara," katanya pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-28 penubuhan PPj dan Festival Lentera di Sisiran Tasik, Anjung Floria Presint 4 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Noridah Abdul Rahim dan Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Sambutan ke-28 penubuhan PPj ini juga bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Ulangtahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

Zaliha berkata, PPj sudah melalui dekad pertama dan berjaya membuktikan kejayaan dalam aspek perancangan dan pembangunan daripada sebuah ladang getah dan kelapa sawit menjadi sebuah bandar pentadbiran bertaraf dunia.

Katanya, dekad kedua pula PPj berjaya menonjolkan pusat kerajaan ini sebagai sebuah perbandaran yang terurus, makmur, bersemangat dan bertenaga dengan perkhidmatan perbandaran dan penganjuran pelbagai aktiviti bertaraf antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 4:42 PM