MUHAMMAD Azmi (tengah) menerima Anugerah Bandar Mampan yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia Dr Alias Rameli (kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Bandar Mampan 2021 Dan Penghargaan Terbaik SDG11 Tahun 2021. FOTO BERNAMA
MUHAMMAD Azmi (tengah) menerima Anugerah Bandar Mampan yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia Dr Alias Rameli (kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Bandar Mampan 2021 Dan Penghargaan Terbaik SDG11 Tahun 2021. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj), yang mengurus dan mentadbir Wilayah Persekutuan Putrajaya dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bandar Mampan 2021 Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

PPj menewaskan 127 pihak berkuasa tempatan (PBT) lain yang turut bersaing dalam kategori Majlis Bandaraya dengan memperoleh skor 99.78 peratus bagi Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets) 2.0.

Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang menerima anugerah itu daripada Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia, Dr Alias Rameli berkata kejayaan itu menjadi platform kepada PPj untuk mengekalkan status bandar mampan sejak 2012.

"Kita akan meneruskan pelbagai usaha yang telah dan sedang dirancang bagi memastikan kejayaan pembangunan bandar mampan dan selamat dicapai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Bandar Mampan 2021 dan Penghargaan Amalan Terbaik Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11.

Anugerah Bandar Mampan bertujuan menggalakkan PBT untuk membangunkan bandar secara mampan, berdaya huni dan berkonsep kejiranan hijau.

Penilaian Bandar Mampan di Malaysia dilaksanakan berpandukan sistem MURNInets yang dibangunkan oleh PLANMalaysia pada 1998 bagi mengukur tahap kemampanan bandar dan pelaksanaannya selaras dengan SDG dan agenda Perbandaran Baharu.

PPj turut meraih dua lagi anugerah iaitu Amalan Terbaik SDG 11 dan 'ASEAN Placemaker 2021' menerusi penyertaan Kebun Komuniti Presint 16.

Muhammad Azmi berkata, menerusi Rangka Tindakan Masyarakat Sejahtera Putrajaya, PPj komited menjadikan Putrajaya sebagai bandar rekreasi berasaskan sukan, sekali gus memberi peluang kepada peniaga dan komuniti setempat untuk menjana pendapatan.

PPj turut dalam perancangan untuk mewujudkan Pusat Madu Kelulut di Taman Botani tahun depan yang akan diusahakan komuniti di Putrajaya bagi tujuan mengkomersialkan produk berasaskan madu kelulut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:23 PM