LOGA Bala (dua dari kanan) melihat replika bangunan Istana Kehakiman ketika majlis pelancaran LAMPU 2014, semalam.
LOGA Bala (dua dari kanan) melihat replika bangunan Istana Kehakiman ketika majlis pelancaran LAMPU 2014, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, bakal diterangi cahaya lampu pelbagai warna menghiasi bangunan, taman serta tasik menerusi Festival ‘Light and Motion Putrajaya’ (LAMPU 2014) pada 12, 13 dan 14 Disember ini.

Festival julung kali diadakan itu membabitkan sebahagian Persiaran Perdana, Dataran Putrajaya, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) serta Sisiran Tasik di Presint 2 dan Presint 3 apabila kawasan itu bakal diterangi pelbagai cahaya lampu dengan reka bentuk menarik.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Loga Bala berkata, pengajuran festival itu satu lagi tarikan produk pelancongan di Putrajaya yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung.

“Saya yakin penganjuran festival kali ini menjadi titik permulaan kepada penganjuran ‘Lighting Festival’ bertaraf antarabangsa yang lebih meriah dan berprestij pada masa akan datang.

“Menerusi festival ini, diharap ia menjadikan Putrajaya lebih dikenali di peringkat dunia dan mampu menarik ramai pelancong datang ke sini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pra Pelancaran LAMPU 2014, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden PPj Tan Sri Aseh Che Mat.

Dalam pada itu, Loga Bala berkata, penganjuran LAMPU 2014 mirip festival antarabangsa dianjurkan bandar raya terkemuka di dunia.

“Kami berharap festival ini mendapat sokongan dan sambutan baik masyarakat terutama penduduk Putrajaya dan kawasan sekitarnya.

“Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah juga dijangka mencemar duli merasmikan festival ini pada 12 Disember ini di Dataran Putrajaya, Presint 3,” katanya.

Sementara itu, Aseh berkata, festival itu mengketengahkan konsep reka bentuk cahaya berteknologi tinggi, interaktif dan pintar.

“Berpandukan peredaran masa dan trend terkini, penganjurannya selari dengan industri pencahayaan yang sedang mengalami revolusi apabila pelbagai penjimatan tenaga dramatik akan direalisasikan pada tahun akan datang.

“Objektif acara ini untuk memberi peluang kepada pengunjung merasai senario pencahayaan terkini dan secara tidak langsung mbereksplorasi dan pendedahan kreativiti serta kemahiran pencahayaan di Malaysia,” katanya.

Pelbagai program lain turut diadakan pada festival itu antaranya permainan pencahayaan interaktif, pameran automotif bercahaya, kayuhan basikal bercahaya dan beca bercahaya, ekspo mini IT, forum, pertandingan wayang kulit serta pertandingan fotografi.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang melihat laluan menghubungkan Kompleks PPj ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin iaitu ‘kiblat walk’ turut dihiasi cahaya lampu pelbagai warna dan skrin cahaya di Tasik Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 6:15 AM