MHD Amin
MHD Amin

Putrajaya: Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Julai ini.

Mhd Amin Nordin, 59, menggantikan Tan Sri Ahmad Phesal Talib yang tamat tempoh kontraknya pada 17 Julai ini dan pelantikannya sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-11 sudah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Pengumuman itu dibuat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan semalam.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih sepanjang perkhidmatan beliau (Ahmad Phesal) sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Pelbagai perkara dasar dan pelaksanaan di peringkat DBKL dapat dilaksanakan dengan berkesan dan cemerlang,” katanya.

Tengku Adnan berkata, berdasarkan rekod perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah DBKL, Mhd Amin menjalankan tugas dengan cemerlang dan menunjukkan komitmen dan kewibawaan tinggi.

“Gaya kepemimpinan beliau diterima baik warga DBKL serta majoriti penduduk Kuala Lumpur.

“Beliau mula bertugas di DBKL sejak 1978 dan tempoh selama 37 tahun pengalaman di DBKL akan banyak membantu beliau untuk melaksanakan tugas sebagai Datuk Bandar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Hasim Ismail dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) berkuatkuasa 1 Ogos ini menggantikan Tan Sri Aseh Che Mat yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Julai ini.

Tengku Adnan berkata, pelantikan Hasim, 58, diharap dapat meneruskan kecemerlangan dibawa Aseh sehingga menjadikan Putrajaya bukan saja Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, malah, dikenali di mata dunia menerusi pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.

“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau (Aseh) yang membawa Putrajaya ke landasan tepat serta mewujudkan pelbagai ikon tersendiri untuk bandar pintar dan hijau ini.

“Ia sekali gus dikenali bukan saja dalam negara malah di persada antarabangsa,” katanya.

Mengenai pengalaman kerja, Tengku Adnan berkata, Hasim berpengalaman luas dalam hal ehwal keselamatan, pentadbiran dan pengurusan kerajaan tempatan sepanjang tempoh perkhidmatan 32 tahun dalam kerajaan.

“Beliau yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Wilayah Persekutuan serta terbabit secara langsung dengan dasar Wilayah Persekutuan Putrajaya serta program pembangunan lain di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:11 AM