FADLUN ketika sidang media Program Susunan Terpanjang Kenderaan@50WP sempena 50 Tahun Wilayah Persekutuan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
FADLUN ketika sidang media Program Susunan Terpanjang Kenderaan@50WP sempena 50 Tahun Wilayah Persekutuan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Jabatan Wilayah Persekutuan mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Program Susunan Terpanjang Kenderaan @50WP dengan penglibatan 644 kereta disusun sepanjang 3.351 kilometer (km), di sini, hari ini.

Susunan terpanjang kenderaan dengan bendera Wilayah Persekutuan di jajaran jalan Presint 2, 3 dan 4 itu bermula dari persimpangan Kementerian Kewangan dan berakhir di Lingkaran Gemilang.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pelbagai jenis kenderaan terdiri daripada kenderaan persendirian, persatuan kenderaan, kenderaan milik agensi kerajaan dan swasta terbabit dalam program itu.

"Antara kenderaan yang terlibat dalam rekod ini adalah seperti motosikal, kereta kompak, kereta sedan, supercar, SUV, MPV dan limosin yang mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan.

"Ia sebagai rasa bangga di samping mengekspresikan rasa cinta serta sayang terhadap Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sijil pengiktirafan MBOR itu diberikan oleh pegawai MBOR Siti Hajar Johor kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas lanjut, Fadlun berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti Wilayah Persekutuan dalam mencapai misi mencipta rekod di peringkat negara melambangkan kejayaan dan kecemerlangan Wilayah Persekutuan.

"Ini dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan dan perpaduan sejagat," katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, N Rasenthran, 56, berkata, dia berasa bangga kerana menyertai program ini dan dapat mencatatkan rekod dalam MBOR.

"Saya berasa bangga kerana menyertai susunan terpanjang kenderaan di Putrajaya ini sempena 50 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan.

"Ia juga merupakan kali pertama saya menyertai program seperti ini," katanya yang merupakan seorang peniaga.

Jurujual kereta, DC Chang Jia Jun, 25, berkata, dia menyertai program ini atas rasa tanggungjawabnya sebagai anak Malaysia.

"Saya berasa gembira dengan penyertaan ini, ia dapat mencatatkan rekod dalam MBOR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 1:13 PM