NGA (kiri) bersama Ahmad Samsuri (dua, kanan) melihat pelan projek Program Bandar Selamat pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang di Pasar Payang, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
NGA (kiri) bersama Ahmad Samsuri (dua, kanan) melihat pelan projek Program Bandar Selamat pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang di Pasar Payang, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pasar Payang di sini, dicadang supaya dijenamakan sebagai Central Market Terengganu bagi hub untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, ia akan menjadi kompleks yang memenuhi keperluan semua pihak termasuk pelancong, sama ada dalam dan luar negara.

Katanya, cadangan itu juga mampu melonjak sosio ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat terutama peniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong apabila kompleks dijenamakan seperti Central Market Kuala Lumpur.

"Saya menaruh harapan yang tinggi supaya bangunan ini yang tersergam megah, apabila ia diberikan nama 'Central Market at Pasar Payang' Terengganu pada satu hari nanti, ia juga akan mendapat penarafan sebagai salah satu warisan negara seperti Central Market Kuala Lumpur.

"Cuma ini bangunan baru, jadi ia belum dapat lagi ciri-ciri bersejarah, tetapi ia sekarang berciri moden (dan) tadi saya pun cadang pada kerajaan negeri selaras dengan objektif 'sustainable development goal' yang sememangnya wawasan kerajaan untuk memastikan pembangunan yang mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat (PBS) Tahun 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu, Nga bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyaksikan penyerahan projek berkenaan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan meneliti dengan serius cadangan berkenaan dan percaya semua pihak mempunyai hasrat untuk menjadikan Pasar Payang bukan hanya terkenal di Terengganu tetapi di seluruh negara.

Projek pembangunan semula Pasar Payang yang berusia lebih 50 tahun dilaksana di tapak sedia ada, membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM70.03 juta.

Fasa pertama projek bermula dengan pembinaan pasar sementara dikenali Pasar Payang 2 yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak asal, serta siap pada Mei 2019.

Pembangunan semula Pasar Payang 1 yang bermula Ogos 2019 siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023, membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat bagi menempatkan 412 lot kedai dan 369 petak jualan.

Kemudahan lain termasuk, tandas, tandas orang kurang upaya (OKU), eskalator, bilik persalinan bayi, lif, surau, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan, landskap dan menara jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 6:06 PM