SEBAHAGIAN  peniaga menjual makanan  tradisional Terengganu  di Pasar   Payang.
SEBAHAGIAN peniaga menjual makanan tradisional Terengganu di Pasar Payang.
Oleh Zaid Salim dan Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Pasar Payang umpama nadi kepada sebahagian besar daripada 1,000 peniaga kerana sudah bermacam pengalaman pahit manis mereka lalui sejak ia wujud lebih 80 tahun lalu.

Namun, struktur bangunan yang sudah usang serta tidak lagi sesuai untuk urusan perniagaan terutamanya dengan namanya sendiri yang gah hingga ke peringkat antarabangsa menyebabkan kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya mempunyai perancangannya sendiri bagi membangunkan Pasar Payang.

Laporan Wajah Kehidupan hari ini pula memaparkan pula perancangan sebenar untuk ikon pusat perniagaan hasil kerja tangan ini dan juga keinginan persatuan yang menjadi penghubung antara peniaga dan kerajaan negeri.

Pasar Payang baru yang dirancang dibina atas beberapa sebab termasuk berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai struktur bangunannya dilaporkan tidak selamat kerana faktor usianya.

Selain itu, perancangan dibuat disebabkan mahu melihat Pasar Payang yang menjadi lokasi dikenali ramai mempunyai satu bangunan gah seiring namanya.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, selepas JKR mengesahkan Pasar Payang tidak selamat digunakan, beberapa tindakan dibuat untuk menanganinya.

Menurut beliau, pihaknya menjalankan kerja baik pulih di tempat berisiko terutama pada bahagian pasar basah bagi memberi keselesaan kepada peniaga serta pelanggan.

“Buat masa sekarang ia selamat diduduki kerana kerosakan pada bahagian tertentu dibaik pulih, namun ia tidak bersifat kekal.

“Kami harap dengan pembinaan pasar baru nanti memberi keselesaan kepada semua dan paling penting menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung,” katanya.

Menurutnya, projek itu giat dibangunkan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun sekiranya tidak berlaku sebarang masalah.

Selain itu, Mohamad Kamil berkata, MBKT sedia mempertimbangkan permintaan penarik beca di kawasan Pasar Payang untuk menyediakan satu kawasan parkir khas untuk memudahkan perkhidmatan itu ditawarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, pihaknya sedia maklum dengan masalah dihadapi penarik beca di pekarangan pasar dan akan meneliti kawasan sesuai dijadikan parkir khas bagi memberi kemudahan kepada penarik beca.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:03 AM