Zaid Salim

Kuala Terengganu: Kompleks baharu Pasar Kedai Payang, di sini, yang dibina sejak lima tahun lalu dijangka mula dibuka kepada pengunjung Januari tahun depan.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pembinaan kompleks pasar bernilai RM76 juta itu sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu perakuan dari Indah Water Konsortium (IWK) sahaja.

"Semua agensi sudah memberi Perakuan Siap Dan Pematuhan dan hanya dari (IWK) sahaja belum diterima.

"Kita akan bincang dengan pihak IWK agar dapat segera mempercepatkan perkara kerana saya difahamkan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah bersedia untuk memindahkan peniaga dari pasar sementara ke pasar berkenaan," katanya pada sidang media selepas meninjau projek Pembangunan Semula Kompleks Pasar Payang, hari ini.

WAN Ahmad Dahlan (tengah) ketika meninjau projek Pembangunan Semula Kompleks Pasar Payang. FOTO Zaid Salim
WAN Ahmad Dahlan (tengah) ketika meninjau projek Pembangunan Semula Kompleks Pasar Payang. FOTO Zaid Salim

Beliau berkata, kompleks itu membabitkan perluasan saiz kedai dan ruang legar, dilengkapi kemudahan asas seperti tandas orang kurang upaya (OKU), bilik persalinan bayi, eskalator dan lif bagi keselesaan pengunjung serta peniaga.

Katanya, pembinaan semula menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Payang pada awal kewujudannya dahulu turut membangkitkan nostalgia lama.

"Ia sangat sinonim dengan penduduk Terengganu dan pembinaannya akan membangkitkan semula nostalgia lama selain menjadi tarikan baharu pelancong," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, projek ikonik Negeri Terengganu itu pasti menjadi satu daripada tarikan utama pelancong ke Terengganu.

"Ia juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat sekali gus memanfaatkan penduduk negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 9:43 PM