GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, mengesahkan dakwaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) digodam adalah palsu.

Mohd Uzir berkata, pihak Padu sudah membuat penafian mengenai penyebaran maklumat berkenaan menerusi aplikasi X, semalam.

"Alhamdulillah, kami sudah buat penafian (mengenai Padu digodam)," katanya ringkas pada BH, hari ini.

Semalam, DOSM yang juga agensi di bawah Kementerian Ekonomi melalui @paduofficial_ di media sosial terbabit membuat penafian dan menyatakan maklumat disebarkan itu tidak benar.

Pihak Padu menegaskan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan data rakyat dan menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula dilaporkan menegur forum dalam talian, Lowyat.net kerana menyebarkan maklumat salah apabila mendakwa Padu digodam.

Lowyat.net melaporkan bahawa Padu serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, digodam kumpulan dikenali sebagai R00TK1T.

Menurut forum dalam talian itu, penggodam mendakwa mencuri data daripada Padu dan turut mendakwa kumpulan berkenaan menceroboh infrastruktur keselamatan LPPKN serta mencuri data bernilai lebih 27 gigabait daripada pelayannya.

Lowyat.net kemudian menjelaskan bahawa Padu yang dikatakan digodam R00TK1T merujuk kepada Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan LPPKN, menurut laporan portal FMT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 12:24 PM