Datuk Mohd Kamarudin Md Din.
Datuk Mohd Kamarudin Md Din.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menjalankan siasatan berhubung dakwaan tawaran penjualan data peribadi jutaan rakyat Malaysia di forum pasaran pangkalan data.

Pengarahnya Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, polis menerima satu laporan berkaitan isu berkenaan.

"Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat.

"Polis memberi jaminan siasatan sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, data peribadi jutaan rakyat Malaysia berusia 18 hingga 82 tahun yang berada dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa dijual dengan harga AS$10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Laman sesawang teknologi Lowyat.net semalam menunjukkan set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh populasi 22 juta rakyat negara ini dijual pada harga terbabit di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 8:52 PM