FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan berhubung dakwaan kebocoran dan penjualan data peribadi Pemegang Kad Pengenalan Malaysia di internet yang tular, baru-baru ini.

Agensi antirasuah itu berkata, cadangan itu bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan penyelesaian terbaik untuk ancaman privasi data itu.

Kata TI-M, kerajaan perlu menjalankan penyiasatan yang telus terhadap pelanggaran itu, dan hasil siasatan harus dikongsi dengan rakyat.

"Kedua, kabinet harus mengkaji kelemahan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan undang-undang lain sedia ada serta membincangkan hasil dapatan dan cadangan penyelesaian untuk menyokong dan mengukuhkan kerangka yang ada.

"Seterusnya, sistem keselamatan siber yang lebih utuh perlu dilaksanakan untuk memastikan pelanggaran itu tidak akan berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

TI-M berkata, ancaman kebocoran sedemikian sudah berulang kali terjadi kepada privasi data peribadi rakyat Malaysia sekali gus menunjukkan kurangnya kejelasan dan kesungguhan daripada kerajaan untuk memberi pendedahan secara telus serta membincangkan penyelesaian terbaik untuk ancaman privasi data ini.

"Penjualan data peribadi pendaftaran dan pengundi yang serupa membabitkan empat juta rakyat Malaysia sebelum ini berlaku pada September 2021 di laman sesawang Raidforums. Namun, ia digagalkan melalui operasi global yang diketuai oleh Amerika Syarikat pada 2022," katanya.

Kata agensi itu, laman sesawang teknologi Lowyat.net, awal minggu ini pula melaporkan bahawa set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh rakyat negara yang lahir antara 1940 hingga 2004 iaitu kira-kira 22.5 juta orang, dijual secara talian di forum pasaran pangkalan data.

"Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data.

"Data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikatakan turut dijual, dan penjual juga menyatakan bahawa data itu diperoleh daripada platform MYIdentity, yang dilaporkan sebagai platform perkongsian data ditubuhkan untuk sektor awam yang membolehkan agensi mendapatkan maklumat peribadi daripada repositori berpusat.

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga memaklumkan bahawa 104 agensi diberi kebenaran untuk menggunakan platform itu dan polis dilaporkan sedang menyiasat mengenai dakwaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:25 PM