PENGARAH syarikat yang ditahan SPRM kerana disyaki memberi suapan kira-kira RM13,000. FOTO Ihsan SPRM
PENGARAH syarikat yang ditahan SPRM kerana disyaki memberi suapan kira-kira RM13,000. FOTO Ihsan SPRM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki memberi suapan kira-kira RM13,000 kepada jurutera sebagai balasan bagi mendapatkan kerja kontrak dengan sebuah jabatan di negeri ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 3 pagi di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini, bagi membantu siasatan kes yang sedang dijalankan.

Terdahulu, SPRM menahan reman seorang jurutera kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM13,000 daripada kontraktor pada pertengahan 2022 dan menggunakan wang itu bagi membeli meja snuker serta meja ping pong yang ditempatkan di pejabatnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 20 Februari sudah dikeluarkan Majistret Puan Shyahirah Abdul Salim selepas pihak SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.

Suspek diwakili peguam dari Yayasan bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 9:42 PM