FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Jurutera sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM13,000.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika diminta hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang pada jam 5 petang hari ini.

Katanya wang suapan berkenaan dipercayai diterima lelaki terbabit daripada pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kontrak di jabatan kerajaan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pertengahan 2022 dan menggunakan wang itu untuk membeli sebuah meja snuker dan meja ping pong untuk ditempatkan di pejabatnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Georgetown esok bagi permohonan reman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 11:45 PM