GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima wang suapan RM13,000 daripada seorang individu.

Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada Jun 2020 sebagai balasan untuk tidak meneruskan siasatan dan melepaskan individu yang ditahan atas kesalahan jenayah.

Menurutnya, suspek yang bertugas di sebuah daerah di Selangor itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 4 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:58 PM