Empat individu termasuk jurutera direman di Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya pada 2020. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Empat individu termasuk jurutera direman di Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya pada 2020. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Empat individu dari agensi kerajaan Pulau Pinang termasuk jurutera direman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya pada 2020.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap mereka selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Menurut sumber, jurutera berusia 34 tahun serta tiga kontraktor berusia 30-an itu ditahan semalam selepas mereka hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan.

"Kesemua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM86,000 bagi projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya di sini.

"Bagaimanapun, projek itu tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, semua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba jam 9.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan jika didapati bersalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 2:06 PM