Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha (kiri) ketika sesi temubual di Studio Balai Berita Jalan Riong. FOTO ASWADI ALIAS
Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha (kiri) ketika sesi temubual di Studio Balai Berita Jalan Riong. FOTO ASWADI ALIAS
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menggerakkan inisiatif dan gerak kerja dalam usaha menyampaikan fakta yang benar serta tepat berkaitan kes Nik Zurina Nik Abdul Rashid.

Ketua Pengarah Ikim Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pemahaman berkaitan pembatalan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 perlu diberikan, selari dengan kenyataan dibuat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

"Ketua Hakim Negara menegaskan, isu dalam kes ini bukanlah berkaitan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi berkenaan sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan berkenaan mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

"Hukuman sivil dan syariah di Malaysia adalah berbentuk takzir yang mana hukuman bagi kesalahan diadakan oleh pemerintah justeru, tidak wujud cabaran terhadap undang-undang Islam di Mahkamah Syariah," katanya pada kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Tun Tengku Maimun membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam enakmen itu yang terbatal adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Sesyen 16).

Mohamed Azam berkata, Ikim turut menghormati keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan dalam kes berkenaan.

"Fakta dalam isu kes ini adalah berkaitan kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk menggubal atau membuat beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

"Dalam 20 peruntukan yang dicabar yang kemudiannya menjadi 18, hanya 16 peruntukan yang diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah iaitu seksyen 11, 14, 16,17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 enakmen terbabit," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dalam usaha menyampaikan maklumat perundangan yang betul, Ikim bakal mengadakan persidangan meja bulat atau muzakarah pakar.

Selain itu, Ikim akan meneruskan usaha terbabit melalui program radio dan penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial.

"Ikim menyeru supaya semua pihak mendapatkan fakta yang benar dan tepat berkaitan kes Nik Elin.

"Pada masa sama, Ikim juga berbesar hati untuk terbabit sebagai anggota dalam sebarang jawatankuasa

yang berkaitan dan memberi input kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (Dun) Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang ditubuhkan pada Disember lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 3:08 PM