Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Program Advokasi Pencegahan Kemalangan dan Promosi Kesihatan anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempunyai objektif penganjuran yang cukup istimewa.

Program itu dianjurkan dengan matlamat ke arah meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja terhadap pentingnya amalan budaya pencegahan kemalangan selain mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, sebagai salah satu komponen program Ops Cegah, Perkeso memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pencegahan oleh majikan rentetan kadar kemalangan yang dikesan kekal tinggi pada tahun 2022.

Beliau berkata, banyak usaha yang sudah dilaksanakan oleh pelbagai pihak namun, kadar kemalangan jalan raya membabitkan pekerja terus meningkat setiap tahun.

"Berbanding tahun 2021, terdapat peningkatan sebanyak 38 peratus pada tahun 2022.

"Ini menyaksikan peningkatan daripada 23,894 kes kepada 32,976 kes. Berdasarkan kes kematian yang direkodkan pada tahun 2022 sebanyak 651 pekerja maut akibat kemalangan perjalanan manakala 281 kes dicatatkan akibat kemalangan di tempat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Advokasi Pencegahan Kemalangan dan Promosi Kesihatan Perkeso 2023 di Lotus Stargate Sungai Petani.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Dr Azlan Darus dan Pengarah Perkeso Kedah Rafidah Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, sepanjang tahun 2022, perbelanjaan Perkeso menerusi peruntukan faedah untuk kemalangan perjalanan yang membabitkan kematian, hilang upaya dan kecederaan kepada pekerja dianggarkan kira-kira RM700 juta.

Katanya, jumlah itu dilihat cukup besar tetapi yang lebih mendukacitakan apabila ia turut memberi impak psiko-sosial yang lain kepada masyarakat kita.

"Kejadian seperti hilang ahli keluarga, orang yang tersayang, rakan sekerja dan sebagainya cukup menyedihkan kerana kehilangan ini tidak dapat diganti dengan wang ringgit.

"Ia tidak termasuk kerugian dari segi ekonomi dan vproduktiviti, termasuklah kepada pihak majikan," katanya.

Beliau berkata, program dilaksanakan antara Perkeso dengan kerjasama rakan strategik terdiri daripada semua majikan di seluruh negara adalah bersandarkan matlamat ke arah mencapai sasaran menurunkan kadar kemalangan dalam kalangan majikan yang dikenal pasti ini.

"Inisiatif program ini juga turut memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan jalan raya atau kawasan black spot Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jumlah pencarum yang aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di seluruh negara adalah 681,851 orang, dengan seramai 46,349 orang adalah pencarum di Kedah.

MUSTAPHA  menukar minyak enjin sebuah motosikal pada Program Advokasi Pencegahan Kemalangan dan Promosi Kesihatan Perkeso 2023 di Lotus Stargate Sungai Petani. FOTO SYAHARIM ABIDIN
MUSTAPHA menukar minyak enjin sebuah motosikal pada Program Advokasi Pencegahan Kemalangan dan Promosi Kesihatan Perkeso 2023 di Lotus Stargate Sungai Petani. FOTO SYAHARIM ABIDIN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 5:56 PM