MOHD Ridzwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan Tahun Satu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MOHD Ridzwan mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan Tahun Satu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Bekas pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas murid perempuan Tahun Satu.

Tertuduh, Mohd Ridzwan Mahmud @ Mahamood, 46, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 7 tahun di hadapan kelas sebuah sekolah rendah dalam daerah Hilir Perak, di sini, jam 6.45 pagi, 31 Januari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar mencadangkan tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

Peguam tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merayu agar mahkamah menawarkan jaminan rendah kepada anak guamnya memandangkan Mohd Ridzwan ialah orang kurang upaya (OKU) kategori lembab, selain meminta lelaki itu dirujuk kepada pakar psikiatri.

"Anak guam saya baru dipecat daripada pekerjaannya. Beliau hanya tinggal berdua bersama ibunya yang uzur berusia 78 tahun," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu atau mendekati mangsa.

Selain itu, Intan Nurul Farena turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan mental dan menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan psikiatri.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bertindak menahan suspek pada jam 11 pagi hari sama.

Hasil siasatan awal polis, mangsa mendakwa suspek sudah beberapa kali mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadapnya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 11:17 AM