Alias Abd Rani


Muar: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, mengarahkan tukang cuci yang berdepan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap murid di dalam tandas sebuah sekolah kebangsaan di Kluang, menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang mahu tertuduh, Mohamad Zahiruddin Abdul, 31, menjalani ujian itu di Hospital Permai, Johor Bahru.

Ini kerana ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh beberapa kali mengeluarkan kata-kata 'nak balik rumah, ayah sakit' membuatkan prosiding hari ini hampir tergendala seketika.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap murid tahun satu dalam tandas lelaki di sebuah sekolah di Kluang antara jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, 4 April 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan itu dibaca oleh jurubahasa.

MOHAMAD Zahiruddin berhadapan tuduhan amang seksual terhadap murid, diarah menjalani pemeriksaan psikiatri. FOTO Alias Abd Rani
MOHAMAD Zahiruddin berhadapan tuduhan amang seksual terhadap murid, diarah menjalani pemeriksaan psikiatri. FOTO Alias Abd Rani

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika tertuduh membantu mangsa membuang air kecil dalam tandas.

Tertuduh kemudian mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan itu menyebabkan mangsa ketakutan lalu lari ke kelas dalam keadaan menangis dan trauma.

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. Tertuduh berjaya ditahan pada jam 4 petang, 9 April 2018.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes selain status laporan psikiatrik dari Hospital Tampoi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:12 PM