Adie Zulkifli

Sungai Petani: Jenazah Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi di Bukit Selambau, tengah malam tadi.

Allahyarham adalah salah seorang daripada tiga anggota tentera dari Batalion 3 Rejimen Sempadan (RS) Pengkalan Hulu, Perak yang maut selepas lori tentera dirempuh sebuah lori terbabas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pagi semalam.

Suasana hiba menyelubungi proses pengebumian jenazah Mohd Hafiz yang dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ATM.

Panglima 30 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim menyampaikan Jalur Gemilang kepada keluarga.

Terdahulu, van yang membawa jenazah Mohd Hafiz tiba di rumahnya yang terletak di hadapan masjid itu kira-kira jam 11.30 malam selepas dikeluarkan dari unit forensik Hospital Sultanah Bahiyah.

Ibu kepada Mohd Hafiz, Ruzita Zulkifli menyiram air mawar di kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi di Bukit Selambau. FOTO Adie Zulkifli
Ibu kepada Mohd Hafiz, Ruzita Zulkifli menyiram air mawar di kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi di Bukit Selambau. FOTO Adie Zulkifli

Ahli keluarga diberi masa 30 minit untuk memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke masjid untuk solat jenazah.

Lebih 200 ahli keluarga dan rakan berkumpul di tanah perkuburan ketika jenazah dikebumikan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nur Hasni Ishak, 32, dan mereka sudah berkahwin selama tiga tahun.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, tiga anggota tentera yang maut dikenali sebagai Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu lori syarikat kurier itu patah kaki kiri dan cedera di kepala akibat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 3:29 AM