ANGGOTA ATM membantu menguruskan Jenazah Sarjan Rozali Abdull Rani yang maut dalam nahas kemalangan Lebuhraya Utara Selatan untuk disembahnyang di Masjid Gong Bayor. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA ATM membantu menguruskan Jenazah Sarjan Rozali Abdull Rani yang maut dalam nahas kemalangan Lebuhraya Utara Selatan untuk disembahnyang di Masjid Gong Bayor. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Besut: "Ayah dah nak pergi kerja." Itu kata-kata terakhir Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, kepada anak tunggalnya, Muhammad Nabil,14, ketika menghantar anaknya ke sekolah pagi semalam.

Rozali adalah salah seorang daripada tiga anggota tentera dari Batalion 3 Rejimen Sempadan (RS) Pengkalan Hulu, Perak yang maut dalam nahas selepas lori tentera dirempuh sebuah lori terbabas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pagi semalam.

Menurut Muhammad Nabil, menjadi rutin harian bapanya menghantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Hulu, Perak jika tidak mempunyai urusan di luar daerah.

"Pagi itu (Jumaat), ayah hantar saya ke sekolah dan ketika itu, ayah tidak pesan apa-apa cuma ayah bagi tahu yang dia nak pergi kerja.

"Saya sempat salam dengan ayah tetapi tak sangka itu perbualan serta salaman terakhir," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor di sini.

Muhammad Nabil berkata, dia dimaklumkan kemalangan menimpa bapanya beberapa jam kemudian sebelum bergegas bersama ibu, Tuan Nor Hasliza Tuan Mohd Nor, 37, ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Saya hanya tahu ayah sudah tiada apabila berada di hospital sebelum dibenarkan melihat ayah," katanya.

Sementara itu, Nik Zabidah Mohd, 62, yang juga ibu kepada Rozali berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian menimpa anaknya melalui anak bongsunya, Rosliza, 37.

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anak keduanya pada Oktober tahun lalu.

"Arwah ada bagi tahu anak bongsu yang dia mahu balik ke kampung sempena cuti sekolah tetapi tak sangka dia 'pulang' dalam keadaan begini," katanya

Turut terkorban dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam itu adalah Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu lori syarikat kurier itu patah kaki kiri dan cedera di kepala akibat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 10:42 AM