Zatul Iffah Zolkiply

Besut: Jenazah Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, yang maut dalam nahas selepas lori tentera dirempuh sebuah lori terbabas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara semalam selamat dikebumikan pagi, hari ini

Jenazah Allahyarham Rozali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor di sini kira-kira jam 8 pagi.

Lebih 200 ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan hadir di Masjid Gong Bayor dan tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir, Pegawai Memerintah Batalion Ke 3 Rejimen Sempadan Kem Pengkalan Hulu Perak, Leftenan Kolonel Saiful Azril Zahimi dan Ketua Staf Markas Briged Ke 8 Infantri Malaysia Kem Pengkalan Chepa, Leftenan Kolonel Mohd Azmi Mohd Nor.

Saiful Azril turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Abdull Rani Hamad, 64.

Terdahulu, van yang membawa jenazah Rozali tiba di pekarangan masjid jam 5.45 pagi selepas bertolak dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

ANGGOTA ATM membantu proses pengebumian jenazah Sarjan Rozali yang maut dalam kemalangan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Gong Bayor, Besut, hari ini. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA ATM membantu proses pengebumian jenazah Sarjan Rozali yang maut dalam kemalangan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Gong Bayor, Besut, hari ini. FOTO Ghazali Kori

Sebaik tiba, ahli keluarga diberi masa 10 minit untuk memberi penghormatan terakhir dan jenazah disembahyangkan selepas solat Subuh sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Gong Bayor untuk dikebumikan.

Allahyarham yang juga anak kedua daripada empat beradik meninggalkan isteri, Tuan Nor Hasliza Tuan Mohd Nor,37, dan seorang anak, Muhammad Nabil, 13.

Allahyarham adalah salah seorang daripada tiga anggota tentera dari Batalion 3 Rejimen Sempadan (RS) Pengkalan Hulu, Perak yang maut dalam kemalangan berkenaan.

Turut terkorban dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam itu adalah Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu lori syarikat kurier itu patah kaki kiri dan cedera di kepala akibat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 9:15 AM