GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi

Seremban: Bukan hanya kempunan tidak dapat membeli hartanah di daerah ini, seorang wanita menanggung kerugian RM460,000 apabila ditipu dalam urusan jual beli hartanah berkenaan hujung tahun lalu.

Mangsa yang dijanjikan segala urusan akan diselesaikan dalam masa dua bulan, namun selepas menunggu dalam tempoh itu, individu bertanggungjawab gagal dihubungi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa membuat pembayaran melalui perbankan dalam talian dan tunai sebanyak RM460,000.

"Semalam, laporan berkait modus operandi tipu pembelian hartanah secara bersemuka diterima.

"Mangsa seorang pesara wanita berumur 57 tahun dikatakan berurusan dengan seorang individu berkaitan pembelian hartanah di sekitar Seremban," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai membuat pembayaran dalam urusan berkenaan dengan enam transaksi dan bayaran secara tunai berjumlah keseluruhan RM460,000.

"Selepas membuat keseluruhan pembayaran bagi hartanah itu, mangsa dijanjikan segala urusan akan selesai dalam tempoh dua bulan.

"Namun, selepas tempoh itu berakhir, mangsa memaklumkan gagal menghubungi individu yang menguruskan proses jual beli itu sebelum membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 12:42 AM