GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seorang peniaga kedai makan kerugian RM23,000 selepas terpedaya dengan urusan jual beli kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang tidak wujud.

Peniaga berasal dari Temerloh itu tertarik memiliki kenderaan berkenaan selepas melihat iklan menjual kereta terpakai di Facebook pada 20 November tahun lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat untuk membeli Toyota Vellfire model Z keluaran 2018 menghubungi jurujual yang memperkenalkan diri sebagai Stacy.

Katanya, jurujual terbabit memaklumkan harga sebenar kenderaan mewah itu RM80,000 dan meminta mangsa mendedahkan nombor kad pengenalannya.

Menurutnya, mangsa berusia 41 tahun membuat pembayaran sebanyak RM15,000 sebagai wang pendahuluan.

"Mangsa membuat empat transaksi ke dalam akaun seorang individu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM23,000.

"Selepas mangsa membuat bayaran diminta, mangsa berhubung semula dengan Stacy meminta maklumat kenderaan dibeli namun Stacy memberi pelbagai alasan. Menyedari ditipu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, modus operandi kes berkenaan ialah suspek memperdaya mangsa dengan urusan jual beli kenderaan tidak wujud menggunakan Facebook menyebabkan mangsa mengalami kerugian.

Dalam kes lain seorang kerani wanita di Bentong kerugian RM3,661 selepas memperdaya dengan tawaran kerja yang tidak wujud.

Mohd Wazir berkata, mangsa diberikan tugasan membuat belian dengan dijanjikan komisen sebanyak RM60 hingga RM80 sehari, mangsa telah melakukan tugas pertama dan berjaya menerima komisen dijanjikan.

Katanya, mangsa meneruskan tugas baharu dan memasukkan sejumlah wang ke tiga akaun individu berlainan, akibatnya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM3,661.

Mangsa membuat laporan di IPD Bentong dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 8:38 AM