SALEHHUDIN (tiga kanan) bersama pegawainya melihat barang rampasan kes kecurian komponen alat pemancar telekomunikasi. FOTO Mohd Adam Arinin
SALEHHUDIN (tiga kanan) bersama pegawainya melihat barang rampasan kes kecurian komponen alat pemancar telekomunikasi. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Sebelas lelaki dipercayai anggota Geng Halim Dumpil dan Geng Telipok diberkas polis selepas didapati terbabit dalam kes curi komponen pemancar komunikasi, bateri serta kabel elektrik yang bernilai RM460,000 dalam dua kejadian berasingan di daerah ini dan Tuaran, pada 3 hingga 4 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, semua suspek yang berusia antara 18 hingga 49 tahun itu diberkas di beberapa lokasi berasingan di daerah Tuaran, Putatan, Tenom dan Keningau selepas disyaki terbabit secara langsung dalam kejadian berkenaan.

"Semua tangkapan itu dilakukan antara 3 hingga 4 Mac lalu membabitkan 11 lelaki termasuk lima warga asing selepas didapati terbabit dengan dua kes curi komponen pemancar komunikasi, bateri dan kabel elektrik di dua daerah berkenaan.

"Jumlah rampasan untuk kedua-dua kes itu bernilai RM460,000 dan kita masih menyiasat sama ada suspek yang ditahan dalam kejadian ini mempunyai kaitan atau sebaliknya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra dan Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitendan Abdul Fuad Abdul Malek.

Salehhudin berkata, susulan penahanan semua suspek itu, polis turut memberkas suami isteri berusia 30 dan 40 tahun di premis besi buruk berhampiran Jalan Bantanyan, Inanam kerana disyaki terbabit dalam urusan pembelian barangan curi berkenaan dalam serbuan kira-kira 4 petang, semalam.

"Dua individu yang dipercayai suami isteri ini ditahan dalam satu serbuan oleh anggota JSJ IPD Tuaran kerana didapati terbabit dalam urusan pembelian barangan komponen curi itu.

"Kita turut merampas sebanyak 55 unit bateri pelbagai jenama dan jenis dalam serbuan berkenaan," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 2:55 PM