Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GURU kerugian RM40,000 selepas ditipu berhubung pembelian burung kakak tua dalam talian yang dijual oleh seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, mangsa berusia 50 tahun itu terpedaya dengan iklan yang dipaparkan di sebuah laman web jual beli terkenal.

"Burung kakak tua berkenaan dijual dengan harga RM5,000 dan pada hari yang sama mangsa membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,500.

"Selepas setengah jam mangsa kemudian membuat bayaran penuh berjumlah RM2,500 ke dalam akaun bank milik suspek," katanya ketika dihubungi NSTP.

Bagaimanapun katanya, pada keesokan hari, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM6,800 untuk pengeluaran permit.

"Mangsa kemudian membuat bayaran sebanyak seperti diminta suspek namun selepas mangsa membuat bayaran, suspek meminta bayaran sebanyak RM22,745 bagi membuat insurans burung berkenaan.

"Pada hari yang sama, syarikat penghantaran menghubungi mangsa memaklumkan suspek akan membayar balik wang mangsa sebanyak RM100,000," katanya.

Katanya, mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek dan tidak mendapat bayaran balik seperti dijanjikan.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, kelmarin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta lebih berhati-hati ketika membuat urusan jual beli dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 3:57 PM