Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu Gaithri Thomas (dua dari kiri) berbincang dengan Anida Idrus, 41, (kanan) dan Yuseri Yusoff, 39, ( kiri) pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan Februari tahun lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu Gaithri Thomas (dua dari kiri) berbincang dengan Anida Idrus, 41, (kanan) dan Yuseri Yusoff, 39, ( kiri) pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan Februari tahun lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Mahkamah Koroner, di sini, mengarahkan notis sapina diserahkan kepada seorang saksi awam yang juga jiran pusat asuhan Baby Syifaa selepas dia tidak hadir untuk memberi keterangan bagi inkues bayi berkenaan, hari ini.

Mahkamah dimaklumkan wanita itu tidak hadir atas alasan tiada yang menjaga anaknya manakala anak sulung sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) selain suaminya pula bekerja di luar kawasan.

Pegawai Pengendali Inkues, Zahida Zakaria memberitahu, saksi ke-28 itu bersedia memberi keterangan menerusi sidang panggilan video bagi inkues punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri.

Bagaimanapun, Hakim Koroner Datin Surita Budin menolak permohonan untuk mengadakan perbicaraan inkues secara sidang video kerana wanita itu masih berupaya untuk hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan secara lisan.

Beliau turut mengarahkan sapina dikeluarkan terhadap saksi berkenaan yang memerlukannya hadir pada tarikh prosiding akan datang.

"Kalau nak buat secara Zoom perlu ada alasan yang munasabah, sakit atau orang tua yang susah nak datang mahkamah. Alasan UPKK dan tiada sesiapa jaga anak, bagi saya ia alasan remeh.

"Saya mahu serahan sapina secara rasmi kepada saksi itu untuk hadir pada tarikh akan datang dan jika dia gagal, saya akan keluarkan waran tangkap kepada beliau," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding inkues itu bersambung pada 29 April ini.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 1:51 PM