Ahmad Hasbi


Seremban: Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian bayi perempuan berusia 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri ketika dalam jagaan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini, Februari lalu ditetapkan semula pada 29 Jun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rushan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh sebutan itu di hadapan Mahkamah Koroner selepas mahkamah dimaklumkan hakim koroner yang sepatutnya mengendalikan inkues hari ini bercuti atas masalah kesihatan.

Pada prosiding kes, pegawai pengendali inkues, Badius Zaman Ahmad yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan mencadangkan untuk memanggil kira-kira 10 saksi dan memerlukan kira-kira tujuh hari untuk mereka memberi keterangan.

Terdahulu, bapa kepada 'Baby Syifaa', Yuseri Yusoff, 39, hadir di mahkamah untuk mendengar proses inkues berkenaan bersama barisan peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Amin Anuar, Musfira Mohd Fahmi dan Gaithri Thomas.

Sementara itu, Muhammad Amin ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya menerima senarai 10 orang saksi yang akan dipanggil dan akan meneliti semula supaya tidak berlaku percanggahan saksi.

"Kami juga ada saksi sendiri termasuk saksi awam dan polis, kami mahu membantu dan ingin mendapat pengadilan untuk 'Baby Syifaa'," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 4:26 PM