PEGUAM mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu, Hafiz Norkhan ketika hadir pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan Februari tahun lalu. FOTO Azrul Edham
PEGUAM mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu, Hafiz Norkhan ketika hadir pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri, atau 'Baby Syifa,' di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan Februari tahun lalu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi

Seremban: Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa akan mengemukakan seramai enam saksi tambahan untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri.

Peguam Hafiz Norkhan ketika ditemui di Mahkamah Koroner Seremban, di sini, hari ini, memaklumkan enam saksi berkenaan termasuk Bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman, Amidon Anan dan bekas Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof.

Turut dinamakan adalah pakar forensik dari Thailand, Dr Khun Ying Pornthip Rojanasunan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Seremban, Deputi Superintendan Arishah Zairee Abu Bakar, Pakar Forensik, Dr Mohamad Azaini Ibrahim dan seorang jiran.

Bagaimanapun, pada prosiding pengurusan kes yang bermula jam 10 pagi itu, Koroner Datin Surita Budin mempersoalkan pihak peguam keluarga yang lambat mengemukakan nama pakar forensik dari Thailand itu sebagai saksi 'rebuttal' atau saksi untuk menyanggah.

Menurut Surita, saksi rebuttal sepatutnya dipanggil lebih awal dan pihak peguam perlu mengemukakan hasil laporan forensik yang dibuat pakar berkenaan terlebih dulu kepada mahkamah.

"Sepatutnya laporan dikemukan lebih awal sebab kita boleh tengok perbezaannya. Adakah kita nak kena memanggil semua sekali (saksi) kalau ada apa-apa persoalan baharu ditimbulkan? Tidak ke membazir masa?" katanya.

Sementara itu, Pegawai Pengendali kes, Zahida Zakaria sempat mencelah yang mana pejabat pakar forensik dari Thailand memaklumkan, sehingga kini pejabat mereka belum menerima sebarang permohonan untuk memanggil sebagai saksi dalam prosiding berkenaan.

Surita kemudian berkata, beliau berharap pihak pembelaan tidak melengahkan lagi prosiding kes kerana ada tempoh setahun untuk membuat analisa.

Beliau menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes dan tarikh bicara kekal pada 8 dan 9 November depan.

Sehingga kini seramai 25 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 4:08 PM