Ahmad Hasbi


Seremban: Prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri atau 'Baby Syifaa' yang masuk hari ketiga di Mahkamah Koroner Seremban hari ini, berjalan selama kira-kira tujuh jam dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan.

Saksi ke-18, Pakar Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), Dr Hanif Mahmud, 40, tetap dengan pendirian bahawa punca kematian bayi itu adalah disebabkan tekanan di leher.

Ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Datin Surita Budin, Hanif berkata, tekanan di leher itu berdasarkan kesan luka abrasion (lecekan) di leher bayi berusia 15 bulan itu yang melanjur naik tanpa ada sebarang tekanan atau kecederaan dalaman pada tubuh mangsa.

"Kesan luka abrasion di leher itu berukuran 11 sentimeter (cm) panjang dan 0.5 cm lebar di bahagian tengah leher sehingga bahagian sisi kiri dan kanan.

"Luka ini sedikit melanjur menaik di bahagian hujungnya, luka lecekan boleh berlaku jika ada geseran antara kulit dan satu objek yang berpermukaan kasar," katanya pada prosiding inkues, hari ini.

Menurut Hanif, luka melecet itu hanya dalam bentuk satu garisan lurus yang nipis dan berdasarkan hasil dapatan bayi itu mungkin terjerut dengan objek seperti tali, lipatan kain atau seumpamanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad bagaimana tekanan pada leher boleh membawa kepada kematian mangsa, Hanif berkata, tekanan di leher boleh menyebabkan berlaku halangan kepada saluran pernafasan sehingga mangsa mengalami kesukaran bernafas.

"Merujuk hasil bedah siasat terdapat kesan luka melecet pada leher yang menunjukkan badan mangsa tidak mendapat oksigen yang cukup dan tekanan pada leher menyebabkan kematian," katanya.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan menyoal pakar forensik itu sama ada akan terdapat kesan jaringan jika leher mangsa jika tersangkut pada tepi kain buaian.

Hanif berkata, sekiranya bayi itu bergerak kesan itu sukar diperoleh dan perlu mengambil kira kedudukan mangsa yang berketinggian 73 cm dan seberat 7.65 kilogram.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Hafiz bahawa dalam situasi 'Baby Syifaa' mangsa 'struggle' sebelum kematiannya.

Turut sama dalam prosiding inkues, peguam pemerhati pihak pengasuh, Noliana Ali Othman.

Ibu bapa bayi itu, Yuseri Yusoff, 39, dan Anida Idrus, 41, turut kelihatan hadir bersama penyokongnya serta keluarga.

Pada sebelah pagi prosiding dimulakan dengan keterangan pemilik rumah tempat kejadian bayi berkenaan ditemui meninggal dunia iaitu sebuah pusat asuhan di Nusari Bayu, Sendayan, di sini, sebelum bersambung dengan Hanif.

Pada prosiding yang bersambung pada sebelah petang, pihak pendakwaan meminta mahkamah memberi teguran kepada bapa mangsa kerana telah memaki saksi iaitu pakar forensik dan pegawai penyiasat kes dengan mengeluarkan perkataan bodoh dan kurang sopan yang boleh mengganggu emosi kesemua saksi.

Koroner menyifatkan perkara itu serius dan meminta peguam menasihatkan anak guamnya.

Mahkamah turut menetapkan prosiding inkues bersambung pada 8, 21 dan 22 Mac 2023 untuk mendengar keterangan lapan lagi saksi.

Media pada 23 Februari lalu melaporkan Baby Syifaa ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan dekat Sendayan, di sini, kira-kira jam 3 petang.

Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 8:08 PM
Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu, Hafiz (dua dari kanan) dan Gaithri (kanan) berbincang dengan Yuseri  (kiri) pada prosiding hari ketiga inkues bagi menyiasat punca kematian Baby Syifaa, Februari lalu. FOTO Azrul Edham
Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu, Hafiz (dua dari kanan) dan Gaithri (kanan) berbincang dengan Yuseri (kiri) pada prosiding hari ketiga inkues bagi menyiasat punca kematian Baby Syifaa, Februari lalu. FOTO Azrul Edham