Dua sekeluarga maut manakala seorang terselamat dalam kemalangan lima kenderaan di Sungai Manggis dekat sini, pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM Selangor
Dua sekeluarga maut manakala seorang terselamat dalam kemalangan lima kenderaan di Sungai Manggis dekat sini, pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM Selangor
Norzamira Che Noh


Banting: Dua sekeluarga maut manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting-Dengkil, Sungai Manggis, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut adalah wanita berusia 40-an dan kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun manakala mangsa yang selamat adalah wanita berusia 20-an.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7.03 pagi.

Katanya, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mana sebuah lori melanggar empat kenderaan iaitu dua Honda City, sebuah Perodua Bezza serta sebuah lagi kenderaan.

"Lori berkenaan menghempap Perodua Bezza yang dinaiki tiga mangsa menyebabkan mereka tersepit.

"Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 8.45 pagi dan mengalami kecederaan di kaki.

"Dua lagi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan dikeluarkan pada jam 9.40 dan 9.45 pagi dan mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 11:59 AM