BOMBA membantu di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Norzamira Che Noh


Klang: Dua lelaki ditemukan maut selepas tercampak keluar dari kenderaan sejurus kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Persiaran Sultan Ibrahim, Bandar Baru Klang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi tadi, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Bezza, Honda City dan Toyota Camry, dinaiki tujuh mangsa.

Mangsa maut adalah dua lelaki, manakala lima mangsa lain yang terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan, seorang bayi dan dua lelaki mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 6.23 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian.

"Dua mangsa lelaki maut selepas tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Lima lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan serta seorang bayi terselamat dan mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 9:15 AM