ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Ruwaida Md Zain


Klang: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah lori 10 tan sehingga terperosok dan melekat di bawah kenderaan terbabit berhampiran Balai Polis Bukit Raja, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan pada jam 2.29 pagi dan tiba di lokasi kejadian 2.35 pagi.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang tiba di lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan lori dengan Perodua Bezza dinaiki dua mangsa yang berumur 20 dan 22 tahun.

"Lori terbabit dipercayai membuat pusingan U berhadapan Balai Polis Bukit Raja sebelum dilanggar Perodua Bezza yang dinaiki mangsa dari arah Jalan Haji Sirat menghala ke Kapar.

"Akibat pelanggaran itu, Perodua Bezza itu terperosok dan melekat di bawah lori terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta mengambil masa kira-kira 40 minit.

"Pihak bomba menggunakan peralatan khas dan dibantu oleh sebuah jengkaut bagi mengalihkan lori sebelum mengeluarkan mangsa.

"Pada jam 3.50 pagi, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba, kedua-dua mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun pemandu lori tidak dapat dikesan kerana dipercayai meninggalkan lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 10:52 AM