AHMAD Samsuri (tengah) menyampaikan notis borang 5A kepada penduduk pada Majlis Penyerahan Notis Borang 5A RTB Tapak Kediaman DUN Rhu Rendang, hari ini. FOTO Ihsan UPDI
AHMAD Samsuri (tengah) menyampaikan notis borang 5A kepada penduduk pada Majlis Penyerahan Notis Borang 5A RTB Tapak Kediaman DUN Rhu Rendang, hari ini. FOTO Ihsan UPDI
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kerajaan negeri masih menilai kerugian dan kerosakan yang ditanggung akibat banjir yang melanda Terengganu tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia merangkumi kerosakan harta benda penduduk dan harta awam yang terjejas dalam bencana berkenaan.

Beliau berkata, dua sektor iaitu pertanian dan penternakan merekodkan kerugian lebih kecil berbanding ketika bencana sama melanda sebelum ini.

"Belum lagi (terima laporan tetapi) kita ada anggaran sebenarnya kerosakan kepada sektor pertanian dan penternakan.

"Tetapi kadar kerosakan bencana yang baru ini terhadap sektor pertanian dan penternakan itu jauh lebih kecil berbanding dengan yang sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 350 orang menerima notis borang 5A bagi tapak kediaman di DUN Rhu Rendang.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga masih mengumpul jumlah keluarga yang terjejas dalam bencana yang melanda baru-baru ini.

Beliau berkata, ia termasuk mengenal pasti kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 4:24 PM