AHMAD Samsuri (kiri) menyampaikan daging korban ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Perkarangan Surau Pengkalan, Kampung Setar Kanan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AHMAD Samsuri (kiri) menyampaikan daging korban ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Perkarangan Surau Pengkalan, Kampung Setar Kanan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Meriah dan sederhana. Itu suasana sambutan Hari Raya Aidiladha di negeri ini walaupun negara berdepan dengan peningkatan harga barang ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, golongan kurang bernasib baik tidak dipinggirkan dan pelaksanaan ibadah korban sedikit sebanyak dapat membantu golongan berkenaan.

"Alhamdulillah, walaupun keadaan kita tidak seteruk negara Islam yang lain tetapi pelaksanaan ibadah korban ini dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang berdepan masalah kewangan dalam mendapatkan bahan makan.

"Macam hari ini, Alhamdulillah, kita tengok orang ramai berkumpul bersama-sama menyaksikan dan menghayati ibadah korban," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang di pekarangan Surau Pengkalan, Kampung Setar Kanan, di sini, hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 30 ekor daging lembu korban diagihkan kepada penduduk di Dun Rhu Rendang.

Pada masa sama,Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang menyeru umat Islam untuk mengimarahkan masjid, surau dan aktiviti-aktiviti keagamaan susulan peralihan negara ke fasa endemik.

Katanya, masyarakat seharusnya memanfaatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kerajaan selepas hampir dua tahun berdepan pandemik Covid-19.

Tinjauan di sekitar daerah Marang dan Kuala Terengganu mendapati kawasan untuk melakukan ibadah korban dipenuhi orang ramai yang tidak melepaskan peluang menyaksikan aktiviti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 3:00 PM