Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Perikatan Nasional (PN) Terengganu belum memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara parti komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali gus menafikan dakwaan kononnya Bersatu akan bertanding di empat kerusi DUN pada PRN.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, perbincangan mengenai pembahagian 32 kerusi DUN di dalam komponen PN masih lagi berjalan.

Beliau berkata, semua parti komponen mempunyai senarai kerusi idaman masing-masing namun keputusan akhir hanya dibuat selepas mendapat persetujuan semua kepimpinan tertinggi yang ada.

"Kita belum mengesahkan apa-apa lagi mengenai perundingan kerusi, masing-masing ada 'wish list' (kerusi idaman) sendiri.

"Saya sudah sebut sebelum ini sama ada Bersatu, Pas atau Gerakan, mereka mempunyai 'wish list' masing-masing bukan sahaja di negeri Terengganu bahkan di tempat lain yang akan terbabit dengan PRN.

"Jadi, tentulah dalam 'wish list' ini ada yang perlu dibincang, dirunding, dilihat keseluruhan kedudukan kerusi ini (dan) yang paling penting, yang telah dipersetujui dalam kalangan seluruh kepimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan adalah untuk memastikan kemenangan yang maksimum kepada Perikatan Nasional di seluruh negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi akan diadakan dalam masa terdekat.

"(Pengagihan kerusi) belum lagi sebab kita libat urus bersama negeri sudah dilakukan dan tinggal lagi ialah semua kepimpinan tertinggi parti daripada Bersatu, Pas dan Gerakan ini akan berbincang balik.

"Buat masa ini, oleh kerana kita baharu menyambut hari raya, kita bagi ruang kepada semua kepimpinan untuk terbabit dalam aktiviti raya dahulu.

"Kita akan cari dalam waktu yang sesuai dan terdekat ini untuk kita duduk dan bincang keseluruhan kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 2:42 PM