Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap 20 meter padu (m³).

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelarasan itu adalah minimum dan tidak membebankan selepas lebih 20 tahun tidak berlaku kenaikan.

Menurutnya, kenaikan tarif air itu juga akan memberi situasi 'menang-menang' untuk syarikat pengendali air dan pengguna di negeri terbabit.

"Ada negeri-negeri yang kenaikannya yang lepas (adalah) 10 tahun, ada yang 15 tahun (dan) di Terengganu, (sudah) lebih daripada 20 tahun (tidak berlaku kenaikan).

"Jadi sedikit-sebanyak ia boleh membantu syarikat air untuk menyediakan keperluan yang lebih baik kepada pengguna, penggantian paip dan sebagainya.

"Jadi 'is a win win' (situasi menang-menang) untuk syarikat air dan juga kepada pengguna supaya perkhidmatan itu menjadi lebih baik," katanya selepas majlis Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 350 orang menerima notis borang 5A bagi tapak kediaman di DUN Rhu Rendang.

Ahmad Samsuri berkata, sebanyak 73.8 peratus pengguna domestik yang secara purata menggunakan hingga 40 meter padu air sebulan hanya akan mengalami kenaikan purata antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan mengikut jumlah penggunaan susulan kenaikan tarif air bermula 1 Februari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian subsidi dan inisiatif kepada pengguna domestik seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika mengumumkan pelarasan tarif air baharu itu pada Rabu lalu.

"Bantuan atau inisiatif yang diberikan oleh operator bekalan air negeri iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) kepada pengguna domestik ketika ini adalah pemberian subsidi 20 meter padu kepada pengguna golongan B40.

"Pemberian subsidi ini membabitkan 11,832 akaun dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun," katanya.

Untuk rekod, Terengganu merekodkan tarif air antara terendah berbanding negeri lain dengan kadar 42 sen bagi setiap 20 m³ bagi penggunaan domestik.

Kadar sedia ada bagi pengunaan lebih 20 hingga 40 m³ (65 sen), lebih 40 hingga 60 m³ (90 sen) dan lebih 60 m³ (RM1).

Difahamkan, SATU dijadualkan mengumumkan kadar baharu tarif air di Terengganu esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:16 PM