Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Terengganu: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan perlawanan bola sepak antara dua kelab di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, tiga suspek ditahan termasuk pegawai dan pemain pasukan bola sepak berusia 20 hingga 40 tahun.

"Tiga suspek berkenaan ditahan semalam untuk membantu siasatan insiden pergaduhan sehingga menyebabkan seorang individu cedera teruk.

"Beberapa tangkapan lain akan menyusul. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, tular di laman sosial video berdurasi dua minit 42 saat yang memaparkan insiden pergaduhan dan rusuhan terbabit.

Kejadian dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati pasukan bertanding terhadap mutu pengadilan yang didakwa berat sebelah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 1:41 PM