FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


PERSELISIHAN faham akibat adik perempuan kepada rakan mengikut kumpulan bermotosikal dipercayai punca pergaduhan beberapa individu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya kemudian menahan 12 individu yang terbabit dalam kejadian itu, Isnin lalu.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku apabila seorang daripada suspek berkenaan dipercayai tidak berpuas hati kerana adik (perempuan) kepada rakannya mengikut kumpulan bermotosikal itu.

"Susulan itu, kami bertindak menahan 12 individu berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disampaikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 342 individu membabitkan pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan satu rakaman video berdurasi sembilan saat menunjukkan beberapa individu bergaduh menggunakan topi keledar di Dataran Merdeka tular di media sosial, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:14 PM