Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, 17 November lalu.  FOTO ARKIB NSTP
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, 17 November lalu. FOTO ARKIB NSTP
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Polis memberi peringatan kepada calon dan penyokong parti bertanding supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang 14 hari berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya mendapati proses penamaan calon semalam berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit sepanjang proses penamaan calon kerana memberi kerjasama baik.

"Kita harap semua pihak tidak melakukan sebarang provokasi sepanjang 14 hari berkempen.

"Malah, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan polis atau sebarang insiden berlaku ketika tempoh berkempen dijalankan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mazli berkata, pihaknya menasihatkan parti bertanding mengemukakan permohonan permit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi mengadakan sebarang bentuk ceramah.

Menurutnya, pada hari pertama tempoh berkempen semalam, polis hanya menerima dua permohonan daripada Perikatan Nasional (PN) yang bertanding untuk mengadakan ceramah dan kempen.

"Parti-parti yang bertanding perlu mematuhi undang-undang sedia ada dan memastikan bahan kempen seperti bendera dan poster tidak mengganggu pandangan pengguna jalan raya dan membahayakan keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 2:52 PM