GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pesara perkhidmatan awam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap kerajaan Malaysia, supaya menyegerakan penyelarasan pencen.

Permohonan itu difailkan hari ini oleh Aminah Ahmad yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar atas kapasiti peribadi dan bagi pihak 56 pesara lain selaku pemohon, menerusi Tetuan Shukor Baljit & Partners dengan menamakan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai responden.

Dalam permohonan itu, pemohon memohon perintah mandamus bagi memaksa kedua-dua responden menyegerakan penyelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980, sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) (PAA) 2013.

Aminah juga memohon perintah supaya responden melaksanakan pembayaran tunggakan pencen kepada pemohon dalam tempoh 14 hari, selain memohon perintah pengisytiharan bahawa kegagalan membayar tunggakan pencen melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili pemohon ketika dihubungi mengesahkan pemfailan permohonan itu.

Sebelum ini, Aminah, bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, telah menyaman kerajaan dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerana mendakwa pindaan kepada PAA 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau, berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah PAA 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Aminah pada mulanya gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020, namun beliau telah merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya.

Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada 2022.

Bagaimanapun, pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, dan mahkamah itu turut menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 8:24 PM