GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pesara perkhidmatan awam mengemukakan surat tuntutan (LOD) supaya kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera bagi menyelaras pengiraan pencen.

Aminah Ahmad yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, bagi pihak 56 pesara lain mengemukakan surat tuntutan kepada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta pengarah Jabatan Pencen, pada 6 Oktober lalu.

Peguam Aminah, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam kenyataan berkata anak guamnya memohon tindakan segera bagi melaras pengiraan pencen mengikut Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980, sebelum pindaan itu, serta membayar tunggakan pencen seperti yang diselaraskan mulai 13 Januari 2022.

"Surat tuntutan itu dikeluarkan berikutan kegagalan kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Januari lalu (diikuti Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Jun 2023).

"Kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai badan negara, menambahkan lagi kebertanggungjawabannya untuk menghormati kedaulatan undang-undang, dan harus membantu serta melindungi mahkamah untuk memastikan kebebasan, kesaksamaan dan keberkesanannya.

"Kerajaan mesti mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta penghakiman Mahkamah Persekutuan, dan tidak seharusnya menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah kerana ia ketidakadilan kepada pesara yang berhak menikmati hasil kerja mereka.

"Malah, kebanyakan pesara ini berada di usia akhir hayat mereka dan tidak sepatutnya dilucutkan daripada hak perlembagaan mereka yang diberikan oleh kerajaan dan selanjutnya diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan," kata peguam itu.

Menurut Baljit, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk menghargai sumbangan pesara perkhidmatan awam dalam mencurah khidmat bakti kepada negara dan kebajikan mereka harus menjadi keutamaan dalam mencapai keadilan sosial.

Pada 27 Jun, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, dan panel lima hakim mahkamah itu turut menolak rayuan Kerajaan Malaysia serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata Seksyen 3 dan Seksyen 7 PAA 2013, yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, adalah kurang memihak kepada pesara dan dengan itu melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan ( yang memperuntukkan perlindungan hak pencen).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 7:24 PM