Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan kepada Mahkamah Rayuan dalam penentuan penyelarasan pencen membabitkan anggota dan pegawai yang berpencen sebelum 2013.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu penyelarasan pencen itu bukan saja membabitkan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi turut membabitkan bekas hakim dan bekas kakitangan awam kerajaan.

Katanya, ketiga-tiga golongan itu mengemukakan saman masing-masing terhadap kerajaan bagi permohonan sama.

"Gaji dan pencen ini soal dasar, kita tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Saman itu terhadap Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera.

"Tentunya bukan saya seorang, Perdana Menteri pun disaman dalam hal ini. Bila membabitkan soal tindakan di mahkamah, ia dilaksanakan Jabatan Peguam Negara bukan kementerian yang lakukannya.

"Kita telah mendapat jadual, mahkamah putuskan pada Januari tahun depan akan ada bicara rayuan dibuat oleh kerajaan, Mindef dan Peguam Negara," kata pada sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tahun 2024 kepada 475 veteran dan wakil veteran di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, hari ini.

Justeru, Mohamed Khaled berkata, kerjasama semua diperlukan bagi mengelak penyelarasan yang berbeza untuk bekas hakim, tentera lain dan kakitangan lain.

"Kita tidak mahu (penyelarasan pencen) untuk bekas hakim lain, tentera lain dan kakitangan lain. Itu adalah benda yang tidak sihat.

"Undang-undang taksiran mahkamah pun tidak akan berbeza sebab kes sama. Sangat jelas ia tidak membabitkan pencen lepas tahun 2013," katanya.

MOHAMED Khaled. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Khaled. FOTO arkib NSTP

Beliau berkata, isu penyelarasan pencen itu timbul hanya kepada anggota yang berpencen sebelum 2013.

"Dasar ini dikenakan bukan hanya kepada tentera tetapi juga kepada kakitangan kerajaan dan bidang kehakiman. Ketiga-tiga golongan ini sudah ambil tindakan mahkamah. Kes ini ada di pelbagai peringkat.

"Di peringkat tentera, mereka pergi ke Mahkamah Tinggi dan berjaya, jadi Pejabat Peguam Negara merayu.

"Di peringkat kakitangan kerajaan, mereka pergi ke semua peringkat, ada yang berjaya dan ada tidak berjaya. Manakala di peringkat hakim, Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu bersetuju dengan saman dibawa bekas hakim.

"Atas sebab itulah kita kena tunggu. Saya nyatakan ia bukan saja membabitkan Menteri Pertahanan saja tetapi banyak pihak terutamanya Jabatan Peguam Negara yang mahukan ada muktamad. Libatkan bekas hakim, bekas kakitangan kerajaan dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini media melaporkan seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat Mejar, Leftenan, Staf Sarjan dan Prebet memfailkan saman pada 17 November 2022 menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.

Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Mereka juga memohon pencen kesemua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara seperti pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013 dan seterusnya, dengan keperluan untuk meminda Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 untuk dimasukkan peruntukan perihal penyelarasan pencen yang baharu seperti diperintahkan oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 1:01 PM