KAKITANGAN JKR memindahkan komponen jambatan bailey sebelum dipasang Jalan Kuantan-Segamat selepas kejadian jalan mendap. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN JKR memindahkan komponen jambatan bailey sebelum dipasang Jalan Kuantan-Segamat selepas kejadian jalan mendap. FOTO Mohd Rafi Mamat
Asrol Awang


Pekan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meninjau keadaan laluan Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, hari ini, selepas jalan itu ditutup untuk semua jenis kenderaan sejak 7 Januari lalu, akibat berlaku mendapan.

Pada masa sama, baginda turut melihat kerja pemasangan jambatan bailey yang memulakan pembinaannya hari ini dan dijangka siap dalam tempoh tujuh hari.

Baginda turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Ir Hafizah Zakaria berkata, kerja pemasangan jambatan bailey mengambil tempoh seminggu untuk disiapkan.

Katanya, seramai 35 anggota JKR Pahang terbabit dalam kerja pemasangan itu yang dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.

"Namun ia bergantung kepada faktor cuaca tetapi jika tiada halangan hujan lebat dan banjir, tujuh hari ia dapat disiapkan.

"Jambatan bailey sepanjang 30 meter dan sembilan meter lebar ini boleh dilalui dua hala dan dihadkan muatan kenderaan sehingga 20 tan saja," katanya ketika ditemui media.

Dalam tempoh jangka panjang, beliau berkata, JKR Pahang akan memohon peruntukan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi pembinaan jambatan kekal di jalan terbabit.

"Sejumlah RM17 juta diperlukan bagi pembinaan jambatan kekal yang dijangka disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga tahun termasuk membabitkan reka bentuk.

"Jambatan bailey ini akan berada di tapak ini sehingga penyelesaian jangka panjang diselesaikan," katanya.

Difahamkan, hujan lebat pada 5 dan 6 Januari lalu mengakibatkan limpahan air sungai dan arus deras di bawah jalan menghakis permukaan tebing serta lapisan laluan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:19 PM