AHMAD yang juga Ahli Parlimen Pontian menyantuni penduduk di Pekan Benut, di sini, hari ini. FOTO ihsan  PEJABAT AHLI PARLIMEN
AHMAD yang juga Ahli Parlimen Pontian menyantuni penduduk di Pekan Benut, di sini, hari ini. FOTO ihsan PEJABAT AHLI PARLIMEN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan bailey di Seksyen 102, Jalan Kuantan-Segamat perlu disegerakan berikutan laluan itu dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa pada Aidilfitri kali ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata isu kesesakan luar biasa di laluan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

"Awal tahun lalu, saya sendiri sudah turun padang melawat laluan berkenaan, yang berlaku tanah mendap akibat hujan dan banjir. Disebabkan kawasan di situ tidak boleh dilalui kenderaan, keputusan untuk bina jambatan bailey, diambil.

"Jambatan bailey adalah jambatan sementara, bukan jambatan kekal. Kerajaan juga sudah umumkan pembinaan jambatan kekal bernilai RM17 juta untuk menggantikan jambatan Bailey sebelum ini," katanya selepas menyantuni penduduk Benut, di sini, hari ini.

Sebelum itu, tular beberapa gambar dan video keadaan Jalan Kuantan- Segamat di Muadzam Shah yang mengalami kesesakan teruk di laluan berhampiran jambatan bailey, menjelang sambutan Aidilfitri dan berterusan sehingga kini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyegerakan pembinaan jambatan kekal di laluan berkenaan bagi kemudahan orang ramai.

"Pembinaan jambatan kekal cukup penting disegerakan kerana kita tidak mahu susahkan orang ramai dan penduduk yang terperangkap dalam kesesakan di laluan itu.

"Sementara itu, pengguna jalan raya disarankan mencari jalan alternatif lain terutama pada hujung minggu dan musim perayaan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan di Jalan Kuantan- Segamat itu," katanya.

Pada 18 Januari lalu, Kementerian Kerja Raya dilaporkan sudah membuat permohonan peruntukan bernilai RM17 juta daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan jambatan kekal berkenaan bagi menggantikan jambatan bailey itu.

Pembinaan jambatan kekal itu dijangka akan mengambil masa dua sehingga tiga tahun untuk disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 3:03 PM