TENGKU Muhammad Fauzi (kiri) ketika melakukan tinjauan pembinaan jambatan sementara yang menghubungkan Kampung Bemban ke Kampung Jerang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
TENGKU Muhammad Fauzi (kiri) ketika melakukan tinjauan pembinaan jambatan sementara yang menghubungkan Kampung Bemban ke Kampung Jerang. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Selain menjaga keselamatan negara, Tentera Darat Malaysia (TDM) berkorban tenaga dan kepakaran bagi membina semula jambatan yang runtuh akibat banjir besar 18 Disember lalu.

Terbaru Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen TDM diatur gerak bagi membina jambatan menyeberangi Sungai Triang di sini, yang runtuh sekaligus menyebabkan penduduk Kampung Bemban dan Kampung Jerang terputus hubungan.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pemasangan jambatan itu adalah usaha TDM menyelesaikan masalah ratusan penduduk di kawasan itu.

"Jambatan sepanjang 30 meter dan lebar 4.2 meter boleh dilalui oleh kenderaan berat sehingga 30 tan. Ia dijangka siap esok bergantung kepada keadaan cuaca," katanya kepada media ketika mengadakan tinjauan hari pertama pembinaan jambatan sementara itu tadi.

Hadir sama, Jurutera daerah Kuala Pilah, Nurhalim Aludin.

Tengku Muhammad Fauzi berkata pemasangan jambatan berkenaan turut dibantu Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kini mencapai lima ke 10 peratus kerja pemasangan pelantar jambatan.

Sementara itu, lebih dari 130 penduduk di Kampung Bemban menarik nafas lega susulan usaha TDM itu.

Penduduk, Nurul Amylia Mohd Rosbi, 33, berkata, pelbagai aktiviti boleh diteruskan seperti biasa selain tidak perlu lagi menggunakan jalan alternatif yang jauh.

Sebelum ini ATM turut menggunakan bot tempur miliknya bagi membawa murid dan pelajar untuk menyeberangi sungai berkenaan untuk dihantar ke sekolah berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:33 PM