Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengesyorkan supaya diadakan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk merekrut pekerja tempatan dalam industri sawit khususnya bagi kemahiran penuaian.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia sekali gus untuk mengatasi kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor komoditi itu.

Menurutnya, adalah diakui industri komoditi itu mempunyai masalah kekurangan pekerja walaupun pada masa sama ia adalah industri yang besar untuk negara iaitu eksport sahaja sekitar RM130 bilion.

"Industri ini membabitkan 5.6 juta hektar (keluasan tanaman sawit) jadi kita melihat (bermasalah) kalau tak ada pekerja.

"Jadi saya berasakan TVET boleh memperkenalkan kursus untuk mengajar anak muda untuk pekerjaan ini.

"Kerja penuaian hasil adalah sesuatu yang kita tak ada lagi profesyen itu. Adakan TVET kursus khas untuk penuaian buah kelapa sawit.

"Apabila mempunyai kemahiran penuaian, ada banyak tempat lakukan pekerjaan ini sebab ada 5.6 juta hektar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Palm Oil Economic Review & AMP; OutLook Seminar (R&O) 2024 di sini, hari ini.

Johari melahirkan kebimbangannya jika negara tiada pemetik buah kelapa sawit ini, hasil buah sawit yang ada akan rosak dan itu adalah amat merugikan.

"Itu yang berlaku sewaktu kita menghadapi pandemik Covid-19. Industri (bernilai) RM20 bilion hingga RM30 bilion tetapi kutipan tidak dapat dilakukan sebab kekurangan pekerja memetik buah.

"Tinggal lagi kita kena terima hakikat bahawa tidak bolehlah bayar upah pemetik buah warga tempatan ini sebagaimana yang dibayar kepada pekerja asing.

"Saya melihat mungkin boleh bagi gaji sekitar RM3,000 atau RM4,000 sebulan dengan insentif kalau petik lebih banyak mungkin ada lagi diberikan insentif kepada mereka," katanya.

Menyedari industri sawit negara adalah adalah sangat besar, katanya, mesti pastikan pekerja tempatan menjadikan pemetik buah sebagai profesyen yang menarik termasuk dari segi upah gaji.

"Itu yang saya mahu tekankan. Kalau tidak selama-lamanya industri ini kena bergantung dengan pekerja asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 2:43 PM