SEKTOR perladangan boleh dikelaskan sebagai 3D.
SEKTOR perladangan boleh dikelaskan sebagai 3D.
Muhamaad Razis Ismail

Setakat Januari sehingga Ogos tahun lalu, maklumat dipetik daripada Kementerian Perladangan Komoditi menunjukkan Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit RM40.51 bilion (9.66 juta tan) dengan India pengimport utama minyak mentah sawit diikuti China dan Eropah.

Laporan ini menunjukkan impak positif sektor perladangan kelapa sawit terhadap negara di mata dunia dan kita wajar mengekalkan produksi pengeluaran minyak sawit kita secara mampan dan lestari.

Kejayaan ini dapat dikekalkan jika sektor perladangan mempunyai tenaga kerja mencukupi terutama penuai muda tempatan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Daljit Singh Karam Singh berkata, kini kebanyakan penuai kelapa sawit dalam sektor perladangan sawit dimonopoli warga asing daripada negara jiran.

"Permintaan minyak sawit mentah yang tinggi terutama daripada China dan India serta keperluan minyak mentah untuk kegunaan dalam negara kita sendiri menyebabkan pengambilan pekerja asing sebagai jalan penyelesaian utama sektor perladangan negara kita

"Saya tiada data sebenar mengenai jumlah penuai muda sedia ada di negara ini, tetapi 75 peratus tenaga kerja di sektor perladangan kita diisi pekerja asing dalam pelbagai jenis pekerjaan termasuk penuai dan pekerja am," katanya.

Menurutnya, negara berdepan masalah kekurangan penuai muda tempatan yang berkemungkinan besar berpunca daripada tawaran gaji rendah dan kerja berat yang tidak menarik perhatian golongan muda di negara ini.

"Penuai muda ini kebiasaannya menjalani latihan penuaian enam bulan yang disediakan syarikat perladangan tempat mereka bekerja dan dibayar elaun atau gaji minimum iaitu RM1,500.

"Selain itu, golongan muda berkemahiran negara kita yang bekerja di sektor perladangan sawit lebih memilih jawatan sebagai mandur, penyelia, pekerja am atau pemandu," katanya.

Beliau berkata, kekurangan tenaga penuai muda boleh mengakibatkan masalah kekurangan bekalan minyak mentah sawit yang serius dalam masa terdekat dan panjang.

PERLADANGAN kelapa sawit menjadi antara punca utama pendapatan negara.
PERLADANGAN kelapa sawit menjadi antara punca utama pendapatan negara.

"Hal ini kerana penuai sawit dari negara jiran kebanyakannya datang sebagai pekerja kontrak dan selepas tamat tempoh, mereka kembali ke negara asal mereka. Di sini kita kerugian tenaga kerja mahir kerana mereka ini juga dilatih di negara kita.

"Industri perladangan kelapa sawit kita boleh kerugian sehingga RM20 bilion setahun apabila buah tandan segar kelapa sawit tidak dapat dituai dan dikutip untuk dihantar ke kilang tepat pada masanya akibat kekurangan penuai buah kelapa sawit yang mahir," katanya.

Jelasnya, penuai muda daripada negara ini amat penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada penuai sawit mahir daripada negara luar.

"Selain itu, sudah pasti bakal penuai muda negara kita ada kemahiran serta berupaya memastikan penuaian buah dalam dapat dilakukan berdasarkan sasaran harian dan bulanan yang ditetapkan. Ketika ini, seorang penuai dan seorang penarik ditetapkan untuk setiap 22 hektar ladang kelapa sawit," katanya.

Justeru itu, beliau berpandangan, semakan semula gaji minimum membabitkan pekerja ladang termasuk penuai sawit perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Pekerjaan di sektor perladangan ini dikelaskan sebagai 3D (kotor, bahaya, sukar) kerana mereka berdepan dengan pelbagai cabaran ketika menjalankan tugas di lapangan.

"Kadar bayaran gaji lebih setimpal dengan pekerjaan perlu diperbaiki untuk menarik lebih ramai golongan muda negara kita," katanya.

Selain itu, latihan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga ada menawarkan kursus pendek bagi golongan muda yang ingin menjadi penuai, pekerja am atau memulakan perkebunan kelapa sawit ini.

"Sudah pasti kursus TVET sebegini menjawab kepada seruan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan kelapa sawit negara kita

"Jerayawara berkaitan peluang pekerjaan di sektor perladangan perlu dilakukan di sekolah dan di kawasan penempatan masyarakat di luar bandar," katanya.

Beliau berharap lebih ramai anak muda negara ini berkecimpung dalam bidang perladangan ini kerana setakat tahun 2022, sektor agrikomoditi menyumbang kepada RM61.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadikan agrikomoditi salah satu komponen penting dalam kelestarian ekonomi negara kita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 6:11 AM