Apartment Idaman, Damansara Damai. FOTO ARKIB NSTP
Apartment Idaman, Damansara Damai. FOTO ARKIB NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Polis meneruskan siasatan di beberapa kediaman di lokasi berhampiran penemuan mayat kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Beberapa pegawai dan anggota polis dilihat hadir ke Apartmen Indah dipercayai bagi meneruskan siasatan dan mencari bukti baharu.

Difahamkan, lokasi itu dihadiri Bahagian Operasi Khas (D8) bagi mengumpul maklumat risikan.

Mengesahkan perkara terbabit, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kehadiran pasukan penyiasat itu adalah untuk menyemak beberapa perkara.

"(Ia) adalah siasatan biasa, juga bertujuan untuk pengumpulan maklumat risikan seperti yang dimaklumkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan motif pembunuhan Zayn Rayyan, 6, perlu diperincikan bagi mengenal pasti pelaku yang terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu sudah dilakukan melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.

Namun, polis masih tidak mengetahui apa motif sebenar kanak-kanak terbabit dibunuh dan memfokuskan maklumat risikan bagi memperincikan maklumat sedia ada ke arah memulakan tangkapan.

Proses patologi tidak akan dibuat sekali lagi melainkan polis mendapat maklumat lain sekiranya ada tangkapan baharu.

Pada 5 Disember lalu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 12:57 PM