WARGA Bangladesh yang diselamatkan selepas menjadi mangsa eksploitasi majikan. FOTO Ihsan JIM.
WARGA Bangladesh yang diselamatkan selepas menjadi mangsa eksploitasi majikan. FOTO Ihsan JIM.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dipaksa bekerja tanpa gaji selepas ditipu majikan. Itu nasib menimpa 21 lelaki Bangladesh yang dipercayai dieksploitasi sebagai buruh kasar di sekitar Klang, Selangor.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, ada antara warga asing itu yang langsung tidak diberikan kerja selama enam bulan selepas tiba di Malaysia.

Menurutnya, mereka diselamatkan Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penggubahan Wang Haram Putrajaya susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan.

"Semua warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an hingga 40-an diselamatkan dalam operasi membanteras kegiatan pemerdagangan orang di rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal mereka.

"Mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukan ke dalam negara, malah turut diabaikan tanpa sebarang pekerjaan kira-kira enam bulan.

"Ada antara mereka yang telah dikeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah oleh majikan, manakala pasport mereka dipegang majikan tanpa kerelaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, JIM sudah mengenal pasti syarikat yang menjadi majikan warga asing terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Katanya, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tahun atau seumur hidup dan boleh dikenakan sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

"Orang awam dinasihatkan untuk terus menyalurkan maklumat kepada JIM

atau menghubungi talian 03-8000 8000, sekiranya terdapat pekerja warga asing yang dieksploitasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 8:01 PM